Ahad, 25 Disember 2016

Pindah Juga Akhirnya....Alhamdulillah

Kemas barang untuk angkat ke rumah sendiri. Tikar getah pun dah koyak rabak, mmg nak buang lepas ni.

Dah lama nak pindah ke rumah sendiri, akhirnya semua termakbul juga. Alhamdulillah syukur sangat sebab sekarang dapat duduk rumah sendiri. Walaupun kecik jer rumah tapi senang sikir sebab rumah sendiri. Nak buat apa pun tak kesah ler.....dah rumah sendiri. Bayar guna duit yang kita  cari sendiri.

Tinggal sikit barang yang nak diangkat.

Barang-barang kecil, macam pinggang mangkuk, periuk belanga & baju-baju semua aku dah turunkan dulu. Mintak tolong adik angkatkan. Pinggan mangkuk memang kena angkat pakai tangan, tapi kain baju semua ikat pakai tali & turunkan sikit-sikit, macam dalam citer Do Re Me..lapompong watakumsi....hehehe

Tukang rumah tu angkat barang guna lori tong ni sebab dia keja kontraktor...ok lah juga, sebab pindah dekat jer.

Disebabkan yang buat keje renovation rumah sendiri tu orang dari Seberang, jadi yang tukang angkatkan barang-barang pun upahkan dia juga. Dia panggil 2 orang pekerja & angkat barang-barang. Sebenarnya barang tak banyak mana, cuma almari dapur 2 buah, peti ais, mesin basuh, almari baju 3 buah, katil sebuah, tilam & peti tv. Tu jer yang nak diangkat ke rumah sendiri. Sofa, kabinet tv, rak-rak semua buang jer la.Malas nak memikirkannya. Almari solek & almari baju plastik untuk budak-budak pun tinggalkan jer kat rumah lama.

Barang dah sampai ke rumah sendiri

Nasib baik la masa pindah & angkat barang ni cuaca panas. Bila sampai jer barang-barang ke atas rumah, hujan pun turun dengan lebatnya. Tapi alhamdulillah sebab semua dah masuk ke dalam rumah baru hujan turun. Lepas ni nak kemaskan pinggan mangkuk & baju-baju masuk dalam almari. Baru rumah nampak kemas, Kalau tak bersepak herak lah macam kapal karam. Sebelum naik sekolah rumah kena kemas dan semua settel. Baru selesa sikit nak duduk. Sekarang ni dah ok lah juga cuma barang banyak sangat sampai tak tahu nak simpan kat mana.

Penuh atas katil...tak per ada masa nanti kemas sikit-sikit

Selasa, 18 Oktober 2016

Tak Lama Lagi Pindahlah

Umur dah semakin meningkat, rasanya dah tak larat nak mendaki tangga rumah yang 4 tingkat ni. Dengan dukung baby lagi, bawa handbag, bawa beg taska Alisha, bawa beg sekolah Abg Aiman yang 4 buah tu, bawa baju sekolah Abg Aiman lagi, bawa sampah lagi. Penuh tangah ni bergentel-gentel dengan barang. Sebab tu bila hujung minggu jer siapkan semua baju sekolah Abg Aiman dan hantar dulu di kereta. Susun elok-elok dalam bonet. Malam  hari baru turunkan beg sekolah Aiman dan beg taska Alisha. Jadinya pagi nak pergi kerja tu tak lah banyak sangat nak bawa barang. Dukung Alisha & bawa sampah jer.

Lantai dapur dan dinding dah siap


Tapi sebab rumah tinggi sangat dengan bawa barang yang banyak, menangis pulak mak mertua bila memikirkan saya ni. Saya yang dah lalui hari-hari tak de masalah, tapi mak mertua pulak yang sedih bila mengenangkan saya ni. Jadinya dia suruh saya pindah ke rumah tingkat 1. Rumah tingkat 1 ni memang saya dah beli lama sejak Aiman baby lagi, tapi saya tak pernah duduk kat situ. Makcik yang duduk rumah tu. Saya pulak duduk rumah tingkat 4, rumah makcik ni. Yer lah, kesian pulak nak suruh makcik duduk rumah tingkat 4 dengan usia yang dah banyak dan sakit kaki. Jadinya biarlah saya mengalah.

Wak Aris lah yang banyak membantu, tq wak.

Tapi bila baby Alisha lahir dan saya pun dah nak naik kerja, tetiba jer makcik cakap " kau duduklah kat rumah tingkat 1 tu, biar Mak Nok duduk dengan Uda". Kesian tengok ko bawa barang banyak dengan baby Alisha lagi bila nak pergi kerja. Sebab dia pun dah cakap begitu saya setuju jer lah. Kalau boleh sebelum naik kerja haritu makcik suruh saya pindah terus. Dia kata bawa jer peti ais dan dapur ke rumah tu sebab dapur yang ada dah rosak. Alang-alang nak duduk rumah sendiri, lebih baik saya renovate dulu. Pasang tile, buat singki dan betulkan bilik air. Selesa sikit. Kalau pakai tikar getah, penat nak tukar tikar getah jer lah setiap tahun sebab asyik koyak jer.

Bilik depan dah siap 


Makcik pun setuju nak kemaskan barang-barang yang ada kat rumah tingkat 1. Jadinya cuti hujung minggu jer saya kemaskan barang kat rumah tu. Buang apa yang patut untuk pasang tile. Suruh Wak Aris, tukang kebun pejabat ni carikan orang buat rumah. Sekarang pun dah nak siap buat rumah. Tak lama lagi boleh lah duduk rumah sendiri. Sebelum Abg Aiman masuk ke darjah 3 tahun depan, bolehlah duduk di rumah sendiri. 

Lantai bilik belakang sikit lagi siap.

Alisha Kena Gigit....Adoiii

Setiap kali waktu rehat, mesti saya ni bekejar ke Taska sebab nak susukan baby Alisha & bagi susu kat taska untuk stok petang. Tapi kelmarin adalah hari yang penuh tragis. Sampai jer di taska, pengasuh sedang tenangkan baby Alisha. Masa nak ambik baby Alisha tu, teacher cakap baby Alisha kena gigit dengan budak lain. Ya Allah, terkejutnya lah ibu ni. Pipi kanan, dan dagu merah sebab kena gigit budak. Yer lah, budak tu umur setahun lebih, gigi pun dah banyak. Gigit baby Alisha yang baru berumur 3 bulan. Memang sakitlah sampai berbekas di pipi dan dagu Alisha.

Bila  tengok Alisha macam tu, menangis lah ibu depan teacher tu. Teacher tu cakap "saya minta maaf kak, sebab  tadi saya mandikan baby lain, tetiba ada baby ni gigit anak akak"... Tak kan saya nak marah  teacher tu pulak. Saya diam jer & cuma menangis sambil cium puas-puas baby Alisha. Nak marahkan budak yang gigit tu pun tak boleh lah juga sebab dia pun bukan tau apa. Lepas tu teacher cakap sebenarnya dah 3 orang baby yang kena gigit dengan budak laki tu. Budak tu memang hobi dia gigit kawan-kawan yang lain. Saya pun tanya pada teacher tu, kalau dah 3 orang baby kena gigit dengan budak tu, tak kan tak de apa-apa tindakan yang diambil. Sepatutnya dua orang teacher kena jaga 8 orang baby. Jadi bila seorang tengah mandikan baby, ada teacher lain yang memantau baby lain. Tapi teacher cakap dah banyak kali bagitahu pada penyelia, tapi penyelia tak setuju. Alasannya nanti teacher lain kena buat banyak keje. 

Pipi dan dagu Alisha merah kena  gigit budak. Lutut pun kena gigit juga.


Kalau dah pengasuh kat situ tak cukup, sepatutnya dia asingkan sahaja budak-budak yang dah berjalan daripada baby-baby ni. Baby ni bukan pandai apa pun, cuma baring jer. Tu yang kena gigit lah, kena cakar lah, kena pijak lah..hmmm

Disebabkan kes ni, saya cuba juga usaha cari taska lain sekitar kawasan tempat keje. Bila tanya bayaran untuk baby ialah RM450. Alamak, mahalnya lahai. Mana nak  termampu untuk tanggung bayaran taska 3 orang anak. Dengan lampin dan susu lagi. Mujurlah Aisy tu sekarang dan tak yah pakai lampin sejak balik kampung tempoh hari. Susu pun dia dah kurang sikit sebab botol pun dah kena sorokkan. 

Cari juga pengasuh yang dekat-dekat dengan rumah tapi semua dah full dan tak nak lagi ambik baby. Yer lah, rumah bukan besar. Dua bilik jer, tapi mengasuh anak orang sampai 6-7 orang. Ramai tu. Jiran sebelah rumah tu pun saya tanya juga sebab dia mengasuh anak orang, tapi dia pun dah tak nak jaga lagi sebab dah mengasuh 3 orang beradik yang berumur 3,2 dan setahun. Kena tawakal jer lah hantar baby Alisha di taska ni. Semoga Allah SWT peliharakan anak-anak saya sepanjang saya tiada bersama dengannya. 

Rabu, 12 Oktober 2016

Alisha di Taska

Hari pertama Alisha di taska, ialah pada 3 Oktober 2016 sebab ibu naik keje pada 9 Oktober 2016. Jadinya ibu nak cuba hantar Alisha di taska  dulu, nak tengok ok ke tidak bila Alisha di taska. Hantar pukul 7.00 pagi sekali dengan Abg Aiman ke sekolah. Pukul 12.30 tgh hari, ibu pergi ke Taska untuk tengok dia dan susukan dia sekali. Pengasuh taska pun ambik Alisha dan beri pada ibu. Masa ambik Alisha tu, dia tengah menagis. 

 Terkejutnya ibu apabila tengok selimut Alisha dah kena najisnya. Bila buka rupanya baju dan seluarnya dan terkena dengan najis sekali. Ya Allah, apa dah jadi dengan anak ibu ni. Dah pukul 12.30 tgh hari tapi baju masih tak tukar, penuh dengan najis pulak tu. Bila ibu tanya pada pengasuh yang jaga baby kat situ, napa tak tukar lagi pampes baby ni, dia boleh jawab tak sempat. Tak kan lah dari pukul 7.00 pagi sampai pukul 12.30 tgh hari tak boleh tukarkan pampes baby ibu ni. Dah lebih 5 jam baby Alisha kat situ, tapi masih tak tukar baju & pampes lagi. Ibu cepat-cepat pergi bilik air taska dan tukarkan sendiri baju dan pampes baby Alisha, lepas tu susukan dia. Lepas susukan Alisha sampai kenyang ibu tinggalkan semula Alisha pada pengasuh kat situ. Ibu siap pesan lagi, tolong tukarkan pampes baby Alisha selalu sebab nanti punggung baby kena ruam lampin.

Semoga Allah SWT melindungi anak-anak ibu.


Bila balik ke rumah, ibu ceritakan apa yang berlaku pada makcik. Menitis air mata ini bila tengok baby Alisha dibiarkan sahaja kat taska. Napa buat anak ibu macam ni? Kan ibu bayar duit pengasuh. Ibu hantar baby ke taska sebab dah takde pilihan lain, dah puas cari pengasuh untuk Alisha tapi semua tak nak sebab semua yang ibu tanya dah ramai mengasuh baby. Nak tak nak ibu kena hantar juga Alisha di taska walaupun dalam hati ini berat rasa untuk tinggalkan dia di Taska. Tapi ibu dah tak de pilihan lain. Disebabkan kejadian itu, hari-hari bila hantar Alisha di taska ibu akan pesan pada pengasuh kat situ supaya tukar pampes baby Alisha selalu. Pampes habis pun tak pe yang penting punggung Alisha tak kena ruam lampin. Mandi tu tak utama sangat sebab balik rumah nanti ibu boleh mandikan Alisha tapi ibu minta tolong sangat pada pengasuh kat situ supaya tukarkan lampin Alisha selalu. Hampir setiap hari bila hantar Alisha di taska, ibu akan pesan pada pengasuh kat situ.

Bila tanya pada pengasuh kat situ, napa biarkan anak ibu macam tu, pengasuh kat situ cakap budak yang jaga Alisha tu baru bekerja. Lepas tu baby pulak ramai, ada 8 orang. Yang mengasuh sorang je. Mana nak terlayan. Bila sorang menangis, semua menangis. Jadi untuk pastikan benda yang sama tak berlaku, setiap kali waktu rehat, ibu akan ke taska untuk susukan Alisha dan tengok baju Alisha dah tukar ke belum. Ibu hantar ke taska dengan harapan anak ibu dapat dijaga dengan baik, bukan dibiarkan sahaja. Ya Allah, lindungilah anak-anak ku sepanjang tidak bersama denganku. Aku mengharap padaMU  Ya Allah kerana aku tidak mampu untuk memerhatikan anak-anak ku selalu. Semoga anak-anakku selamat di dunia dan akhirat. Aminnn...

Selasa, 11 Oktober 2016

Nur Alisha Safiya

Sekarang Nur Alisha Safiya dah 3 bulan
Alhamdulillah, saya sekeluarga dikurniakan baby perempuan. Lahir pada 10 Julai 2016 bersamaan 5 Syawal 1437H jam 6.35 petang di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Syukur sangat sebab walaupun kali ini doktor paksa saya bersalin, tapi proses bersalin tak lama dan tak sakit sangat. Saya masih mampu tahan. Selepas keluar dari labour room, saya terus telefon suami untuk azankan baby. Kat wad lagi suami terus bagi nama pada baby. Dia kata namanya ialah Nur Alisha Safiya binti Muhammad Shah.

Alisha beberapa jam selepas dilahirkan


Selasa, 21 Jun 2016

Raya Ala Kadar Jer la

Sejak dua menjak ni, asyik nak membeli jer. Pantang tengok benda yang cantik menarik dan tertarik kat LAZADA, mesti nak beli. Bulan lepas beli beg untuk pergi kerja, bulan ni pun beli beg lagi. Alasan untuk sambut raya. Boleh gitu....  Padahal raya tahun ni aku  sekeluarga tak beraya sangat sebab doktor pakar dah bagitahu kena bersalin juga kalau baby masih tak nak keluar. Jadinya En. Hubby ambik keputusan tak yah balik kampung raya ni, takut terbesalin dalam kereta la pulak. Dulu Aisy nasib baik sempat sampai hospital, terus bersalin. Jadi yang ni En. Hubby kata takut jalan jem, lepas tu risau terbesalin dalam kereta.

Kali ni, darah tinggi makin naik dan naik la pulak. Kalau tak makan ubat, bacaan mesti 140/90 dah kategori bahaya. Aku tanya doktor, boleh pengsan ke doktor? Doktor kata, bukan boleh pengsan tapi boleh mati terus. Doktor cakap, bukan nak takutkan, tapi itu kenyataannya. Disebabkan darah tinggi naik dan naik, jadinya start 34w dah kena makan ubat darah tinggi sehari 3 biji, obimin dan asid folic  untuk tambah darah. Bila mengandung jer mesti kena anemia & darah tinggi. Harap-harap baby ok la kali ni. Dah scan hari tu kat swasta, doktor cakap baby girl. Tapi aku tak kesah girl ke boy, yang penting sihat, selamat.

Makanya, raya ni duduk rumah jer lah yer. Tak kemana-mana. Cuti sekolah pun cuma seminggu jer. Dah tu cuti sekolah sebelum raya la pulak. Raya jatuh Hari Rabu, 6 Julai. Tapi cuti sekolah start hari Jumaat 1 Julai sampai 9 Julai 2016.  Dah 5 hari bercuti barulah raya. Sepatutnya Ahad - Isnin tu leh jer sekolah lagi, cuti sekolah start hari Selasa. Rabu raya, jadi untung sikit, boleh raya lama sikit. Dengan syarat cuti sekolah sambung ke Ahad sampai Isnin seterusnya. Hahaha...macam aku pulak menteri pelajaran, yang susun cuti raya. Yer la, bukan apa, kesian pulak kat budak-budak ni, raya tak jalan ke mana. Cuti Raya 4 hari, raya ke-5 dah kena sekolah balik. 




Rabu, 15 Jun 2016

Keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah Dah Keluar



Hari Ahad 19 Jun 2016 hari terbuka sekolah Kompleks Uda, JB. Ibu bapa kena datang sekolah untuk lihat pencapaian anak-anak mereka. Maknanya, cikgu dah key in data dan markah murid dalam sistem  https://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/menu.php  

Pagi ni sempat bukak sistem dan tengok keputusan peperiksaan Abg Aiman. Alhamdulillah, walaupun tak semua mata pelajaran dia dapat A, tapi sekurang-kurangnya dia masih dalam kategori cemerlang. Syukur sebab Abg Aiman masih boleh belajar dengan baik walaupun semua kawan sekelasnya murid-murid yang memang cemerlang. Hanya 3 mata pelajaran jer yang Abg Aiman dapat B iaitu Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Jasmani. 

Abg Aiman ni senang nak dengar cakap dan rajin solat. Ibu bapa mana yang tak seronok kalau anaknya senang dengar kata. Bulan puasa ni kalau dia dah tertidur lepas berbuka puasa, bangun pagi masa sahur tu dia akan solat Isyak dulu. Sejuk hati tengok anak ibu macam ni. Lepas tu kalau malam ada kat rumah dia akan ikut Abg Jeny solat terawih sampai habis 20 rakaat. Abg Jeny ada juga cakap, kalau Abg Aiman  tak larat buat 8 rakaat jer, lepas tu duduk jer kat belakang. Tapi Abg Aiman tak nak. Dia sanggup habiskan solat terawih dan witir sampai pukul 10.00 malam. 

Ibu bapa mana yang tak suka kalau tengok anaknya senang dengar kata. Semoga Abg Aiman berjaya di dunia dan akhirat. Dapat bimbing Aisy dan adik yang bakal lahir ni. Aminn....

Rabu, 30 Mac 2016

Mesyuarat-Mesyuarat Sepanjang Masa

Sejak akhir-akhir ini, kalau ada mesyuarat luar jabatan, muka aku jer la yang bos hantar ke mesyuarat. Dulu-dulu aku pergi mesyuarat sekali sekala jer, tapi sekarang ni kalau wakil mesyuarat luar jer, mesti nama aku naik. Dah macam takde nama orang lain dalam pejabat ni. Bukan aku tolak arahan bos, tapi kalau sehari sampai 2 mesyuarat aku kena pergi, mana tak letih. Dulu bos dan ketua cawangan rajin hadir mesyuarat, tapi sejak En. Shahrom pindah ke KBS Putrajaya, takde pulak Ketua Cawangan yang nak ke mesyuarat. 

Ultraman ni jadi kawan dia sepanjang masa

Kalau 2 mesyuarat sehari dan masa dia ok, bolehlah juga aku kejar, tapi kadang tu masa tak berapa nak ok, dah tu dua-dua nama aku naik. Alasannya dah takde orang lain sebab yang lain sibuk dengan program.  Yang  tukang susun arahan mesyuarat ni bukan bos pun, tapi secretary bos. Cuba bayangkan, kalau pukul 12.00 tengah hari aku kena mesyuarat di Persada Johor, pukul 2.00 petang Mesyuarat di Bukit Timbalan Johor, macam ner aku nak kejar tu. Walaupun tempatnya dekat tapi bila masa aku nak solat sebab selalunya kalau mesyuarat ni mesti habis dua jam atau dua jam setengah, baru setel satu mesyuarat.

Bos kata, ala...ko keluar je mesyuarat tu, cakap nak ke mesyuarat lain. Sapalah aku ni nak keluar dari mesyuarat kalau ada Orang Istana dan SUK Johor. Aku ni kuli jer, sedangkan mereka berpangkat dan berkuasa. Tak ke muka aku juga yang malu. Bukan muka jabatan. Tapi muka aku yang wakilkan bos ke mesyuarart.

Sekarang ni, badan aku dah kembang setaman. Jalan pun dah slow sebab dah badan mengembang. Kalau pergi ke Mesyuarat luar, ada pegawai jabatan lain tu siap cakap "Dah takde pegawai lain ke kat jabatan awak ni, sampai hantar awak yang dah sarat mengandung ke mesyuarat?" Aku hanya mampu tersenyum jer la. Nak cakap per, dah SAYA YANG MENURUT PERINTAH. 

Bomba tukang padam api pun ada air botol sendiri..hebat

Hari ni Mesyuarat di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Nasib baik dekat dan waktunya ok. Pergi jer la. Tapi masa tengah mesyuarat, Uda call bagitahu yang Aisy muntah-muntah dan berak-berak. Mana lah aku tak risau, tengah mesyuarat pikir hal anak pulak. Habis je mesyuarat terus aku balik ke rumah Uda sebab nak hantar Aisy ke Klinik. Nasib baik doktor cakap yang perut Aisy masuk angin jer, tak de masalah lain. 

Bawa Aisy ke Poliklinik Penawar

Kalau jabtan lain, wakil pengarah datang ke Mesyuarat luar siap ada kenderaan yang tolong hantar dan tolong jemput bawa balik, tapi aku kena bawa kereta sendiri dan cari tempat sendiri. Kalau dekat-dekat ok lah juga, tapi kalau dah jauh aku pun tak jumpa tempat mesyuarat. Sebelum pergi mesyuarat aku terpaksa google map untuk cari jalan nak ke mesyuarat. Dah tu aku bukan kaki internet yang pasang internet sepanjang masa di  telefon. Internet kat telefon aku hanya bila di pejabat sebab guna wifi free dan kalau kat rumah ada broadband.. Kalau kat luar, memang tak lah aku nak on internet telefon. Sebab pernah kena, sekali on jer habis semua duit kat telefon aku...membazir jer di buatnya. 

Sabtu, 12 Mac 2016

Terasa Denyut Nadinya

Alhamdulillah, kini usia baby dalam perut ibu dah masuk ke 21 minggu. Semakin besar baby ibu dan ayah. Ibu pun semakin sihat dan montel. Berat pun semakin naik dan naik. Setiap kali pergi check up di Klinik memang berat akan naik punya. Tak tahulah berat baby atau berat ibu ni. Padahal makan macam biasa jer. 


Abg Aiman masa kecik..comel jer dia

Kalau dulu masa mengandungkan Abg Aiman, ibu akan beli Susu Anmum untuk baby ibu. Mengandungkan Aisy pun sama, rajin minum susu juga. Cuma kali ni, nak bancuh susu pun tak sempat. Sebab dah terkejar ke sana-sini dan uruskan anak-anak. Nak hantar Abg Aiman ke sekolah dan hantar Aisy ke rumah tokde dia, jadi memang tak sempat nak bancuh susu sebab kejarkan masa. 

Kalau petang, bila balik keje pulak dah terkejar-kejar untuk masak makan malam dan jemput Abg Aiman di Taska. Abg Aiman bila sampai jer rumah terus tanya nasi dah siap masak ke belum? Sebab tu balik je rumah terus masak nasi dan lauk.  Lepas tu basuh baju. Siap basuh baju jer terus ke rumah Tokde untuk jumpa dan uruskan Aisy pulak. Macam nilah kehidupan bila Mak Ony dah takde, tapi aku kena kuatkan semangat demi anak-anak. 

Aisy masa kecik pun comel juga...geram nengok dia ni

Dah masuk bulan ke-5 mengandung ni, dah semakin kuat terasa denyut jantung baby dalam perut ibu. Syukur sangat sebab diberi peluang untuk mengandung lagi walaupun En.Hubby jauh di mata. Bila baby bergerak rasa seronok pulak. Masa minggu ke-20 haritu, tak berapa kuat geraknya, tapi kini semakin kuat dia bergerak. Tak kira pagi, petang, siang atau malam tengah tidur, dia akan main-main dalam perut ibu ni. Lagi seronok bila pergi klinik, nurse akan check suara jantung dan jelas sangat bunyi degup jantung baby.

Anak-Anak Ibu & Ayah 

Semoga anak ibu sihat sejahtera dalam perut ibu, dan membesar dengan sempurna. Sekarang pun, rasa pening kepala ibu dah hilang, yang ada kini badan semakin berat. Jadi kalau ke sana-sini memang dah tiada masalah, cuma malas nak berjalan la pulak sebab badan dah semakin berat. Semoga anak ibu tak susahkan ibu dan senang keluar besok. 

Semoga doa ibu dimakbulkan, aminnn



Selasa, 1 Mac 2016

Tahniah Abg Aiman


Hari Sabtu, 27 Februari 2016 adalah Hari Anugerah Cemerlang SK Kompleks Uda dan Mesyuarat Agung PIBG 2016. Sebelum tu, Abg Aiman bagitahu yang cikgu bagi dia surat. Bila aku buka dan baca, rupanya Abg Aiman dijemput untuk terima anugerah kecemerlangan pelajar bagi tahun 2015. Terima hadiah sebab dapat nombor dua dalam kelas masa darjah 1. Abg Aiman siap tanya "Ibu bangga tak, anak ibu dapat terima anugerah?". Aku cakap mestilah bangga, mana ada ibu ayah tak suka bila anak dia jadi murid yang bijak. Ayah dia pesan, bangga boleh tapi jangan sampai riak. Takut-takut nanti Allah tarik balik kebolehan kita.


Hari Jumaat malam, ayah dia balik. Jadinya, pagi Sabtu tu dia ada kat rumah. Pukul 6.30 pagi lepas solat subuh, aku kejutkan Abg Aiman untuk bersiap-siap ke sekolah. Abg Aiman dah tak sabar nak ke sekolah terima anugerah. Padahal baru jam 7.00 pagi. Aisy duduk kat rumah dengan ayah dia sebab ayah dia nak datang ke sekolah lewat sikit. Ngantuk sebab malam tadi pukul 1.30 pagi baru sampai ke rumah. Sebelum ke sekolah, aku ajak Abg Aiman ambik duit di mesin ATM Petronas. Tapi Abg Aiman dah merajuk sebab dia kata dah lambat sangat. Padahal majlis belum bermula pun. Tapi sebab dia excited sangat nak ambik anugerah, awal pagi lagi pun dah kata lambat.

Sampai di sekolah, cari parking, tapi dah penuh. Jadi terpaksa parking jauh sikit. Lepas daftar aku tanya cikgu yang jaga pendaftaran, murid yang dapat anugerah nak tuju ke mana. Cikgu kata tunggu kat makmal Sains. Aku terus masuk ke dewan dan Abg Aiman masuk ke makmal Sains. Pukul  8.00 lebih baru majlis bermula. Lepas ucapan Guru Besar, ucapan YDP PIBG Sekolah dan ucapan perasmian oleh YB Tanjong Puteri. Lepas majlis perasmian barulah majlis penyampaian hadian. Mula-mula anugerah khas kepada murid cemerlang dalam Kokurikulum dan Sukan. Lepas tu baru hadiah pelajaran kepada murid kelas PraSekolah. Lepas tu barulah kelas 1 Amanah dan Abg Aiman untuk kelas 1 Bestari. Tu pun jam dah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Cikgu yang bertugas baru edarkan nasi lemak bungkus & air mineral.

 Perut dah mula lapar sebab pagi tadi cuma sempat minum kopi dan makan roti. Majlis penyampaian hadiah tak habis lagi, banyak lagi kelas yang belum terima tapi jam dah pukul 11.30 pagi. Ayah, Abg Aiman & Aisy dah balik lepas sesi penyampaian hadiah untuk kelas Aiman. Ibu ingatkan nak tunggu sampai Mesyuarat PIBG tapi sebab dah lambat sangat, terpaksa mengalah dan undur diri juga lah. Sebelum tu pesan kat ayah suruh dia masak nasi dulu sebab  dah tengah hari. Lauk beli jer la kat kedai sebab dah tengah hari, perut pun dah berkeroncong. Tak sempat nak masak. Kalau masak pun mesti lambat siap. Akhirnya pergi ke warung & beli lauk ikan pari asam pedas, ikan keli masak lemak, sambal petai & ayam goreng. Cukup lah tu untuk makan sekeluarga. Balik rumah jer tengok nasi penuh satu periuk ayah dia masak. Punyalah banyak masak, makan sampai esok pun boleh. Memang betol pun, akhirnya pagi keesokannya nasi tu jadi nasi goreng kampung. Sampai ke petang aku makan nasi goreng tu. 

Isnin, 22 Februari 2016

Hebatnya Orang Yang Anak Ramai

Aku memang lahir dari keluarga besar. Ada mak, ada bapak dan ada 14 orang adik beradik. Adik beradik aku pun rapat-rapat semuanya. Umur selang setahun dan selang dua tahun jer. Yer lah, orang dulu-dulu memang suka dengan keluarga besar dan anak ramai. Walaupun mak hanya kerja toreh getah dan bapak kerja kebun dan tanam padi,  tapi anak-anaknya tak pernah kebuluran tak makan. Kepuk padi bapak bawah rumah mesti penuh dengan padi untuk stok semusim. Lepas habis kepuk padi tu, bapak akan isi balik dengan padi baru yang dia tanam sendiri. Sebab tu kami sekeluarga tak pernah kebuluran. Bila tengok tong beras kat dapur dah berkurangan isinya, mak akan jemur padi yang ada dalam kepuk padi sampai keras. Lepas tu bapak hantar ke kilang untuk dimesin. Buat makan kami sekeluarga. Hebatnya lah mak dan bapak aku ni. Padahal mak bapak bukan ada kereta atau motosikal besar. Yang ada cuma basikal jaguar dan motosikal Honda 70CC. Tu lah kenderaan yang digunakan untuk hantar anak-anak ke sekolah dan ke kebun.

Sekarang anak-anak mak & bapak dan besar semuanya. Dah berkahwin dan ada keluarga sendiri. Ada kehidupan masing-masing sendiri. Aku kini ada anak dua orang. Insya Allah akan bertambah sorang lagi pada tahun ini. Yer lah, anak aku dua orang jer, yang sekolah baru sorang, Abg Aiman. Aisy pulak baru umur 4 tahun, jadi dok jer lah  kat rumah. Aku suami isteri bekerja. Pagi-pagi aku uruskan anak-anak aku. Abg Aiman aku hantar ke Taska dan Aisy hantar ke rumah Tok Uda dia. Anak aku yang cuma dua orang pun, aku rasa kelam-kabut nak uruskan mereka. Tapi betapa hebatnya mak & bapak aku uruskan anak-anaknya 14 orang dan semua membesar dengan berjaya.



Bila pagi-pagi aku hantar Abg Aiman ke Taska, aku akan lihat kawan sepejabat aku,  yang keje pun sama dengan aku, cuma isterinya Penolong Pengarah di sebuah jabatan kerajaan dengan anak 5 orang, seawal pagi dah sampai ke Taska. Kadang-kadang tu, belum ada pukul 7.00 pagi dia dah sampai ke Taska. Aku yang uruskan anak dua orang ni jer pun lewat sampai ke Taska. Selalu aku sampai ke Taska dalam pukul 7.10 minit sebelum bergegas ke tempat kerja untuk punch card. Padahal rumah aku tak jauh dari taska. Hebatnya lah hai kawan aku ni. Anak 5 orang, 2 orang sekolah kebangsaan, 2 orang tadika dan seorang baby, seawal pagi dah sampai ke Taska. Aku pernah tanya dia, pukul berapa bangun pagi anak-anaknya tu. Dia kata pukul 5.00 pagi semua dah bangun pagi dan dah siap kan barang ke dalam kereta. Pukul 6.30 pagi jer dah gerak dari rumah ke taska. Hebatlah dengan suami isteri bekerja dan anak-anak semua ke taska, tapi boleh uruskan semua.



Yuran pendaftaran pulak, kalau aku hanya hantar Abg Aiman jer ke taska, yuran pendaftaran dah hampir RM1,000. Aisy duduk rumah Tokde dia, takde lah yuran pendaftaran. Tapi kawan aku ni, untuk anak dia 5 orang dan semua duduk di taska, yuran pendaftaran untuk awal tahun jer dah RM5,000.00 dah macam nak bayar down payment kereta baru la pulak. Setiap tahun pulak macam tu. Sebab tu aku rasa hebatnya kawan aku ni, anak ramai tapi leh uruskan semua dan berkorban apa sahajalah untuk anak-anaknya. Mungkin sebab anak dia ramai tu Allah kurniakan dia rezeki yang berkat dan lebih. Mampu pakai kereta mewah dan beli rumah yang harga setengah juta. Sebab tu aku rasa hebatnya lah hai orang yang anak ramai ni. Zaman sekarang ni, kalau suami isteri bekerja, selalunya anak cuma dua atau tiga orang jer, tapi kalau ada anak 5 orang dan ke atas tu memang hebatlah orang tu. Hebat uruskan anak-anak dan keluarga. Dan yang paling penting hebat uruskan kewangan keluarga. 

Sabtu, 30 Januari 2016

Al-fatihah buat Mak Ony

Al-fatihah buat Mak Ony yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Rabu, 27 Januari 2016 jam 6.00 petang di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu. Banyak jasa Mak Ony pada aku sekeluarga. Dialah yang  besarkan anak-anak aku, Aiman dan Aisy sepanjang aku keluar bekerja. Dari Aiman dan Aisy umur dua bulan sampai Aiman dah sekolah, dia yang jaga semua. Memang aku sekeluarga sayang sangat pada Mak Ony. Apatah lagi dengan anak-anak. Aiman & Aisy banyak menghabiskan masa di rumah Mak Ony. Apa yang Mak Ony masak semua sedap sahaja. Sampaikan Aiman suruh aku masak ikut resepi Mak Ony. Betapa kasih sayang Mak Ony pada Aiman & Aisy.

Masa Aisy umur 10 bulan, Mak Ony buat pembedahan buang tiroid di lehernya. Memang lehernya ada ketumbuhan  yang semakin membesar. Doktor sarankan buang tiroid di lehernya. Mak Ony kata yang dibuang hanyalah lendir yang tumbuh di leher. Selepas buang tiroid di lehernya, dah takde lagi tiroid di leher Mak Ony dan lehernya kembali normal. 

Namun setelah setahun membuang tiroid di leher, Mak Ony di kesan menghidap kanser rahim. Selepas buat temujanji, Mak Ony buang pulak kanser rahim tu. Doktor kata kanser rahimnya baru nak jadi. Jadi lepas buat pembedahan, 3 hari selepas tu Mak Ony dibenarkan balik rumah. Masa tu Aisy umur 2 tahun. Sebab dia tak sihat jadi dia cuti dari menjaga Aiman & Aisy. Dalam sebulan lebih, dia dah semakin pulih. Masa tu Aiman & Aisy duduk di rumah Tok Uda dia sebab dah takde sapa yang jaganya. Setiap pagi dalam pukul 6.30 pagi aku dah keluar rumah untuk hantar Aisy ke rumah Uda dan Aiman pulak hantar ke Tadika Perpaduan. Pukul 12.00  tgh hari, aku terpaksa bergegas keluar dari pejabat untuk jemput Aiman dari Tadika dan hantar ke rumah Uda. Kelam kabut juga dibuatnya bila Mak Ony tak dapat jaga anak-anak. Selepas sebulan lebih dia tak jaga Aiman & Aisy, dia pun cakap dengan aku nak jaga anak-anak aku semula. Mungkin Mak Ony kasihan tengok aku bekejar ke sana-sini uruskan budak-budak dan pergi ke tempat kerja. Selepas dua bulan dia bercuti dari jaga budak-budak ini, dia jaga semula Aiman & Aisy. Hidup aku pun dah kembali ceria sebab tak perlu bekerja ke sana-sini untuk hantar anak-anak dan pergi ke tempat kerja. Kurang sikit beban aku uruskan budak-budak ni. Yer lah, rumah atas kayangan, bila nak hantar anak-anak ke rumah Uda, terpaksa lah pikul segala macam barang dan beg untuk budak berdua ni. Rumah Mak Ony sebelah pintu jer, buka pintu rumah jer, Aisy terus masuk ke rumah Mak Ony. Tak payah nak dukung barang dan Aisy. 

Selepas buat pembedahan membuang rahim, Mak Ony buat check up sebulan sekali ke Poliklinik Pakar HSA, JB. Masa tu doktor kata semua ok dan dah sembuh. Tapi tak lama selepas itu, Mak Ony sakit telinga pula, Dia kata telinga nya selalu berdengung. Kena buat check up di Pakar semula. Dari Klinik Kesihatan sampai ke Hospital dia buat pemeriksaan.  Tapi telinga tetap berdengung juga. Setahun selepas buat pembedahan buang rahim, perutnya membesar. Mak Ony selalu mengadu pada aku yang perutnya keras dan semakin besar. Lepas tu dia rasa loya. Mengalahkan  orang yang mengandung. Aku yang mengandung pun tak lah loya macam yang dia rasa. 

Bila buat pemeriksaan di hospital, doktor sarankan Mak Ony buat kimoterapi untuk matikan sel kansernya. Sebelum tu, kena buat MRI dulu. Sebab HSA penuh jadi doktor suruh buat di Hospital Batu Pahat. Pukul 6.00 pagi, 17 Januari 2016, abah dah hantar Mak Ony ke Batu Pahat. Hari Khamis, 21 Januari 2016 Mak Ony kena masuk wad HSA, JB untuk buat kimoterapi. Sebelum buat kimoterapi tu Mak Ony sihat jer. Dari pagi sampai ke malam dia masuk wad untuk kimoterapi tapi tak bermalam di wad. Lepas selesai ubat kimo masuk ke badan, dia pun balik. Lepas jer kimoterapi keadaan Mak Ony terus berubah. Badannya semakin lemah dan tak bermaya, hanya mampu baring jer. Masa tu cuti Thaipusam, jadi 3 hari dia tak jaga Aisy. Isnin, 26 Januari 2016, Mak Ony masih jaga Aisy walaupun badannya lemah dan tak bermaya. Dia yang sambut Aisy di pintu masa Aisy datang. Biasalah Aisy & Aiman kalau datang je ke rumah Mak Ony memang dia akan panggil Mak. Masa ini abah terpaksa bercuti untuk jaga Mak Ony  yang semakin lemah keadaannya.

 Petang Isnin masa nak jemput Aisy balik ke rumah, abah bagitahu yang Mak Ony terpaksa cuti seminggu sebab keadaan badannya yang semakin lemah dan tak berdaya. Aku tak kesah sebab Uda ada untuk jagakan Aisy. Selasa pagi masa aku nak keluar rumah dengan Aiman & Aisy, abah cakap yang keadaan Mak Ony semakin lemah. Sebelum ini dia muntah-muntah tapi sekarang dia berak-berak pulak. Disebabkan dah kerap sangat membuang air, abah terpaksa pakaikan Mak Ony lampin pakai buang. Makan pun dia dah tak mahu. Mak Ony cuma minum air kosong sahaja. Hari Rabu, abah bagitahu yang keadaan Mak Ony semakin lemah dan dah tak berdaya. Nak angkat ke bilik air pun dia dah tak larat lagi. Pukul 10.00 pagi, disebabkan keadaan Mak Ony yang semakin lemah abah terpaksa panggil ambulans untuk hantar Mak Ony ke hospital. Pukul 4.20 petang, Abg Jeny telepon aku sambil menangis teresak-esak, dia kata Mak Ony semakin lemah keadaannya. Aku bergegas keluar dari pejabat untuk ke Hospital. Sampai je hospital, aku tengok Mak Ony dah semakin susah untuk bernafas. Matanya hanya turun naik sahaja. Doktor kata kuman dah merebak dalam badannya. Pukul 6.00 petang aku terpaksa balik untuk jemput Aiman di taska. Masa tu jiran depan rumah bagitahu yang Mak Ony dah takde. Terkejut aku sebab baru beberapa minit aku tinggalkan Mak Ony di hospital, rupa-rupanya itulah kali  terakhir aku tengok wajahnya. Abg Jeny mesej aku dan bagitahu yang Mak Dah Takde. Dia kata akan dikebumikan malam ni juga. 

Di taska, Cik Sabri, pemandu van sekolah Aiman bagitahu Aiman yang Mak Ony dah takde. Meraung Aiman bila tahu mak dah takde. Dia telefon ayah bagitahu yang mak dah takde sampai menangis. Lepas tu, telefon nenek dia pula. Aku pun sedih juga bila Mak Ony dah takde. Dah takde tempat untuk anak-anak aku tumpang kasih-sayang. Aiman cakap dia baru nak bagitahu Mak yang dia sukan dapat nombor 1, tapi mak dah takde. Lagilah sedih aku dibuatnya. Dari Taska aku terus ke rumah Uda untuk jemput Aisy. Lepas Maghrib aku tunggu jenazah Mak Ony. Sampai pukul 10.00 malam barulah jenazah Mak Ony sampai ke rumah. Selepas solat jenazah, Mak Ony terus di bawa ke kubur Bukit Alif untuk disemadikan. Pukul 12.00 malam selesailah majlis pengebumian Mak Ony. Semoga Mak Ony tenang di sana. 




Rabu, 13 Januari 2016

Dah naik sekolah dahhh.

Rambut potong pendek sebab jadi pengawas.

Cuti sekolah sebulan setengah, tapi rasa macam sekejap jer. Kejap jer dah naik sekolah semula. Tahun ni Abg Aiman masuk kelas darjah 2 Amanah, ada peningkatan dari kelas 1 Bestari ke kelas A. Dan tahun ini juga Abg Aiman dilantik sebagai pengawas sekolah, macam polis mata-mata gelap la juga. Tugasnya jaga pintu gate dan jaga perhimpunan sekolah. Tahniah buat Abg Aiman sebab Cikgu sekolah beri kepercayaan pada dia untuk jadi pengawas. Cikgu Masitah kata, kehadiran Aiman ke sekolah bagus, dan  pelajarannya pun ok, sebab tu cikgu lantik Aiman jadi pengawas. Semoga Abg Aiman jadi murid yang berdisiplin dengan adanya tugas baru di sekolah.

Aisy pun kena potong rambut juga walaupun dia tak nak ke sekolah

Aisy pulak tak nak ke sekolah. Bila cakap kat Aisy yang dia kena g sekolah tahun depan, mulalah dia menangis tak nak. Umur dah 4 tahun tapi minum susu botol & pakai pampers lagi. Suruh basuh berak sendiri pun tak mahu, macam ner nak g sekolah ni Aisy. Dulu Abg Aiman umur 4 tahun dah ok jer, pandai berdikari dan boleh urus diri sendiri. Dah tak payah pakai pampers bila tido. Tapi Aisy ni lain pulak, umur dah 4 tahun tapi setiap bulan ibu kena beli pampers & susu dia. Susu tak per juga, bagus untuk kesihatan, tapi bab pampers tu yang menyedihkan...macam ner nak g school ni Aisy.

Gaya Abg Aiman dgn uniform barunya 

Disebabkan Abg Aiman jadi pengawas sekolah tahun ni, jadi semua uniform kena beli baru. Dari baju, tali leher, vase dan kasut sekolah semua baru. Hari Ahad - Rabu pakai baju kemeja. Hari Khamis pakai baju Melayu siap samping lagi. Ibu terpaksa tempah baju Melayu & samping sebab kedai Uniform Falcon pun tak jual baju melayu warna krim yang sekolah suruh siapkan. Sepasang baju uniform sekolah dia ni habis juga dalam RM130. Nak senangkan keje ibu belikan uniform baru ni 2 pasang. Tak yah gosok baju setiap hari.. Hari-hari baju bersih dan kemas jer. Bila tengok Abg Aiman pakai uniform baru ni ke sekolah, hhhhuuuuhhhhh...segak dan bergaya. Macam tokki dia zaman tokki keje polis dulu-dulu. 

Nak jadi Ustaz Pengawas katanya

Koleksi Resepi Internet

Mutiara

Mutiara

Untuk Suami

Pernikahan atau perkahwinan menyingkap tabir rahsia isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia khadijah tidaklah setakwa aisyah pun tidak setabah fatimah justeru, isterimu hanyalah wanita akhir zaman yang punya cita-cita menjadi solehah pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajipan bersama isteri menjadi tanah, ka pernikahan atau perkahwinan memu langit penaungnya isteri ladang ternakan, kamu pemagarnya isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya isteri adalah murid, kamu mursyidnya isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan takwa untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana justeru, kamu akan tersentak daripada alpa kamu bukanlah Rasulullah S.A.W pun bukanlah Saidina Ali suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh ...amin...

Hari Raya Aidilfitri 2012

Hari Raya Aidilfitri 2012
Hari Raya Aidilfitri 2012

Fenomena Hutang dan Keburukannya

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Mari sama-sama kita mempelajari pandangan Islam dalam hal hutang ini.

Nabi SAW bersabda :-
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين

Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.

Sebagaimana Sabda Nabi SAW :
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه اللهErtinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )


Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ;

Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-

KAD KREDIT : -Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.

PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Pelru di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat konterversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.


PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.


UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidak fahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.

* Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman merupakan pakar dalam bidang kewangan Islam dan aktif menulis buku dan artikel. Artikel ini disunting dari laman web beliau, www.zaharuddin.net

Perkahwinan

Perkahwinan itu satu perkara yang mulia, Mengapa mesti kita mengelakkannya. Ia adalah satu fitrah bagi manusia, kalau tak sanggup, manusiakah KITA. Jangan risau jika kita tak dapat isteri yang solehah, kerana Allah telah berjanji, perempuan yg soleh hanya utk lelaki yg soleh...Kalau kita sbg lelaki tak soleh...jgn harap dapat bini yg soleh....Syukur apa yg telah dikurniakan. Tak semua perempuan itu BAIK, tapi baiKKah kita nak dapat perempuan yg baik...??? Kalau kita mengorat perempuan memang tak baik, tapi kalau kita tak berusaha nak cari isteri; Ada can ker bini itu TURUN dari langit..... Kita tak suka perigi mencari timba...Perempuan jenis apakah itu??? Siti Khadijah pun perempuan mcm itu; Hinakah dia?????? Allah telah mengutuskan perempuan utk lelaki...bukannya kita perlu hidup dgn sendiri.... Mungkin rezeki tidak ada untuk kita memulakan alam perkahwinan. ......Tanpa usaha , rezeki itu memnag tidak ada.... Syabas kpd sesiapa yg melangkah ke gerbang perkahwinan, yg tidak, ANDA sesungguhnya berada dalam kerugian.... FIKIR-FIKIRKANLAH. ......... .... ...

Permata hati ibu

Permata hati ibu
Permata hati ibu