Rabu, 16 Jun 2010

Petua mudah untuk HIDUP BAHAGIA


Apakah petua mudah untuk hidup bahagia itu?


Petuanya ialah, "INGAT 2 Perkara, LUPA 2 Perkara" ;


•INGAT (1)Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Syukur dengan kebaikan yang diterima. Hargai dan ingati selalu.


•LUPA (1)Lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa jua. Jangan diungkit-ungkit. Jangan disebut-sebut.


•INGAT (2)Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Istighfar selalu. Minta maaf pada dia, pohon ampun pada Allah.


•LUPA (2)Lupa-lupakanlah keburukan dan kesalahan orang lain kepada kita. Walau hati terluka, lupakan sajalah. Maafkan dia.


Kalau dapat amal petua "INGAT 2, LUPA 2″ ni, insyaAllah saya jamin, anda akan dapat hidup lebih bahagia. InsyaAllah, sama-samalah kita amalkan.

Selasa, 15 Jun 2010

Hikmah Disebalik Ujian Allah



Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini. Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.


Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.


Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.


Bukankah, Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita.


Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya.


Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih, alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt. Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.


Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.


Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Selasa, 4 Mei 2010

Pilih pasangan soleh



Oleh Hashim Ahmad


PERKAHWINAN adalah fitrah semula jadi manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan memberi kasih. Namun begitu, ramai yang sering terlupa bahawa pemilihan jodoh amat dititikberatkan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya dan kerana pegangan agamanya.
Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Bagi mereka yang merancang mendirikan rumah tangga, aspek pemilihan jodoh yang tepat berupaya menjadikan perkongsian hidup dengan pasangan kelak baik atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah. Apa gunanya sekiranya kehidupan selepas berumah tangga menjadikan diri lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah.


Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah? Dengan mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu memiliki akhlak yang baik serta dapat menjadi contoh teladan kepada anak. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumah tangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah.


Ramai mengimpikan kehidupan rumah tangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumah tangga itu? Adakah dengan kekayaan kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Lihat saja berapa banyak sebenarnya kes perceraian berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang mempunyai kemewahan hidup? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya? Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumah tangga.


Antara ciri isteri solehah adalah apabila dia taat kepada Allah, Rasulullah dan suaminya. Selain itu, dia menjaga solat lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumah tangga adalah isteri yang solehah. Suami yang soleh juga adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah dengan tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami perlu banyak bersabar, selain menunjukkan contoh yang baik serta memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.


()"" ' )

( ,'o' )")

(,,)(")(") "


Mengenali seseorang itu kadangkala membuatkan kita ketawa. Mengenali seseorang itu juga kadangkala membuatkan kita mengalir airmata. Sesungguhnya, mengenali seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa... marah, sedih, gembira, sayang dan rindu. Tapi sedahkah kita? Mengenali seseorang itu sebenarnya adalah satu ANUGERAH... Biarpun hadirnya hanya seketika dan sekadar teman sementara... Bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali, melaluinya kita mengerti apa itu erti PERSAHABATAN. ..

Selasa, 9 Mac 2010

20 amalan murah rezeki


Assalamualaikum warahmatullah,

Semua orang impikan rezeki yang banyak, mudah, berkat serta makmur, termasuklah saya. He.. he... Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa niatkan dalam hati supaya Allah mengurniakan kita dengan rezeki yang halal, berkat, mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.


Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)


3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)


4. Sentiasa ingat Allah SWT

Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “...(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)


5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)


7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)


8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.


9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.


11. Menjalin silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)


12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)


13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)


14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.


15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)


17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.


18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.


19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.


20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)


Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama beramal. Mudah-mudahan Allah SWT melimpah-ruahkan rezeki-Nya kepada kita. Amiin.

Isnin, 1 Mac 2010

Menangani rasa cemburu



Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri, perselisihan adalah satu kemestian. Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang bijaksana dan bertoleransi.

Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, malah perkara asas dalam kehidupan juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga sehingga lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang terlupa ditambah gula. Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata atau hanya berupa prasangka sahaja.
Perkara sedemikian jika dibiarkan berterusan akan melarat sehingga tercipta penceraian dalam rumahtangga. Ada di kalangan masyarakat yang menganggap perselisihan rumah tangga sebagai garam di dalam lauk. Tanpa perselisihan, rumah tangga hambar dan tawar, umpama lauk tidak bergaram.Namun, garam itu hendaklah diletak secara berpada-pada supaya tidak terlalu banyak sehingga boleh merosakkan lauk sebelanga.

Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap insan yang bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup berumah tangga. Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi hidup dengan isteri.
Biarpun seburuk mana isteri namun seharusnya terimalah seadanya seperti yang terungkap semasa akad. Kata pujangga, perempuan bagaikan angin, lembutnya melenakan, ributnya pula mampu menggusarkan. Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang malah adakalanya mereka seperti anak yang ingin dibelai, minta dimanjakan seperti anak kecil namun adakalanya mereka seperti nenek yang sering berleter seadanya, merungut semahunya.
Namun, bahagia dan derita hanya kita yang mencorakkan sendiri

Mendirikan sebuah rumah tangga biarpun untuk ke sekian kali namun memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan. Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu. Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.


Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan kasih sayang. Perkara ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar Rum, ayat 21). Cinta dan kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah hasil daripada cinta pandang pertama tetapi ia lahir daripada rasa tanggungjawab mengikut amanah dan kepercayaan, serta tidak dipengaruhi oleh kehendak kebendaan atau nafsu.


Rasa cinta sebegini boleh membawa suami sentiasa bersikap matang dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan. Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah tersinggung dan mudah terasa. Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar bertanggungjawab. Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil, sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut hari jadinya.


Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba mengintip gerak- gerinya kerana didorong rasa cemburu yang melulu. Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman antara suami dan isteri. Dalam mengemudi bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan seisi anak kapal. Manakala isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan gelora.


Oleh ZUHAYATI YAZID

Pendekatan Mesra Remaja



Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah luas dan indah jika umat Islam menghayatinya. Perpecahan umat akibat perbezaan ideologi politik semakin hari kian ketara. Suasana begini bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam, malah ia juga boleh menggugat struktur sosial masyarakat Islam yang amat prihatin terhadap konsep kasih sayang dan tali persaudaraan yang berteraskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.Pengalaman penulis bertemu bual dengan remaja yang berkeliaran di waktu malam di daerah yang agak terpinggir dari ibu kota tiga tahun lalu memberi keinsafan kepada penulis bahawa golongan remaja sama ada dibesarkan di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar menghadapi ketandusan jiwa. Mereka tidak memahami matlamat dan erti kehidupan di dunia ini.


Ramai daripada golongan remaja ini lebih gemar menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang menyeronokkan. Dosa dan pahala bukan merupakan nilai dalam kehidupan seharian mereka.Sikap keterbukaan mereka meluahkan perasaan dan pandangan mengenai kehidupan jelas menunjukkan bahawa remaja dalam golongan ini merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan. Berdasarkan suasana di mana ramai golongan remaja terjebak dalam kancah maksiat dan pembunuhan bayi, maka setiap individu Islam perlu merenung dan mempersoalkan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.Islam menggariskan pelbagai aspek berkaitan dengan konsep kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab individu terhadap individu lain. Islam mendidik umatnya supaya menyemarakkan prinsip kasih sayang sesama umat dan manusia. Orang dewasa perlu dihormati dan orang muda perlu disayangi. Konsep kehidupan begini menyerapi hati nurani umat Islam sehingga mereka merasai bahawa setiap remaja dan kanak-kanak di sekeliling mereka adalah anak mereka.


Oleh itu, mereka tidak khuatir untuk menegur dan menasihati serta mencegah remaja daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri mereka.Semangat kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan masa depan umat Islam. Dalam suasana begini, sepatutnya orang dewasa perlu menumpukan perhatian kepada golongan remaja dengan menggunakan sedikit masa lapang untuk berbual dan beramah mesra dengan remaja yang berada di kawasan mereka.Remaja diibaratkan seperti kain putih yang mana minda dan hati nurani mereka mudah dibentuk ke arah yang lurus dan baik jika orang dewasa, ulama, guru dan ibu bapa sering menghampiri mereka. Minda dan daya pemikiran mereka yang kurang matang memudahkan mereka tergelincir dalam kancah maksiat dan dosa. Maka ketika ini, orang-orang dewasa perlu memainkan peranan untuk membimbing dan mengasuh remaja supaya mereka mampu menggunakan akal ketika menghadapi saat genting dan sebagainya.Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.Oleh itu, perjuangan utama umat Islam masa kini adalah menghampiri remaja dan menjelaskan kepada mereka erti kehidupan dan matlamat kehidupan mereka di dunia. Melalui kesedaran dan penjelasan berkaitan dengan kerohanian sahaja, maka umat Islam dapat memelihara remaja supaya tidak terumbang-ambing dalam arus globalisasi.Mengambil berat terhadap remaja dan masyarakat merupakan Fardu Ain kepada umat Islam yang memiliki ilmu wahyu dan fardu kifayah kepada keseluruhan umat Islam.


Setiap umat Islam akan dipersoalkan oleh Allah berhubung kait dengan tanggungjawab mereka terhadap remaja dan masyarakat.Perkara berkaitan dengan permasalahan remaja dan masyarakat hanya dapat diatasi melalui kerjasama di antara semua umat Islam. Apabila wujud pelbagai permasalahan di kalangan remaja, umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Sikap kerjasama dan prihatin masyarakat terhadap remaja adalah senjata utama untuk memelihara remaja daripada terjerumus ke kancah kehancuran.Remaja merupakan pemangkin kepada masa depan negara dan agama. Oleh itu, Rasulullah SAW meminta umat Islam supaya sentiasa mendampingi remaja dan membimbing mereka menjadi orang yang berwawasan dan mempunyai semangat waja. Baginda meletakkan harapan yang tinggi kepada remaja dengan sabdanya yang bermaksud: "Sebaik-baik remaja ialah orang yang mengisi masa mudanya dengan melakukan kebajikan dan kebaikan".Berdasarkan konteks masa kini, maka umat Islam yang mempunyai ilmu wahyu sepatutnya mempergiatkan kegiatan dakwah kerana keadaan dan gelombang globalisasi dan gejala-gejala negatif begitu aktif menular masuk ke negara ini. Suasana begini tidak mungkin dapat ditangkis oleh remaja Islam. Oleh itu, fahamilah jiwa dan dilema remaja dan kasihanilah mereka dengan menggerakkan semangat berdakwah di kalangan remaja.Elakkan persengketaan sesama umat supaya struktur sosial masyarakat dapat dibentuk dan remaja Islam hidup dalam arus perpaduan dan kasih sayang. Permusuhan sesama umat tidak akan memberi sebarang faedah kepada umat Islam. Ideologi politik perlu ada batas supaya kepentingan agama dan bangsa tidak terjejas. Oleh itu, semarakkan semangat persaudaraan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.


Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selasa, 26 Januari 2010

Rahsia Sujud dalam Solat


Sujud melegakan sistem pernafasan. MUNGKIN ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.

Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangannya. Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.


Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Bernafas ketika sujud pula boleh:

- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.

- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

- melegakan sakit hernia. (burut)

- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

- melegakan paru-paru daripada ketegangan.

- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

- meringankan bahagian pelvis.

- memberi dorongan supaya mudah tidur.

- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.

- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatic memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.

- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

- mengurangkan kegemukan.

- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke ! tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions) .

- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala danmigrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.


Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.Tujuh kalimatSabda Rasulullah S.A.W “Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa/buih laut ”

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

3. Mengucap Astagfirullah jika lidah tersilap perkataan yang tidak patut

4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa!Kalau ada yg nak tambah silakan - kita berkongsi ilmu di sini


Jika ada kesalahan dalam artikel ida ini sila beri tunjuk ajar dan harap dapat perbetulkan.

Hikmah yang tersembunyi:


Sepasang suami istri yang sudah menikah selama 7 tahun dan memiliki 3 orang anak, terlibat dalam sebuah pertengkaran hebat.Begitu hebatnya pertengkaran mereka, sampai akhirnya mereka memutuskan untuk bercerai, mengakhiri kehidupan rumah tangga mereka secepat mungkin.Mereka menemui seorang peguam, untuk melangsungkan perundingan pembahagian harta diantara mereka, perundingan berlangsung lancar, namun akhirnya sebagian besar masalah terselesaikan, baik tanah, rumah, dan semua aset harta mereka dapat dibagi dan mencapai kepuasan kedua belah pihak.

Hanya satu hal tidak ditemukan jalan keluarnya, yaitu mengenai pembagian anak [jangan lupa anak mereka tiga orang], baik si suami maupun si isteri sama sama ingin mengasuh 2 anak, tidak ada yang mau mengalah, dan anak tidak mungkin dibelah dua seperti pada Zaman Sulaiman dulu.Akhirnya mereka menemui seorang tokoh agama, meminta nasehat bagaimana jalan keluar yang harus ditempuh.Sang Imam akhirnya memberika jalan keluar yang bijak, yaitu mereka diminta menunda perceraiannya selama satu tahun, mereka harus menambah satu orang anak selama satu tahun, bila Tuhan mengizinkan perceraian mereka, Tuhan akan memberikan tambahan satu anak, total menjadi 4 anak, sehingga mudah untuk dibagi diantara mereka berdua.Kerana si suami dan si istri sangat serius untuk bercerai, mereka berusaha keras untuk menambah anak, dan akhirnya mereka berhasil.


Setahun kemudian, ketika Sang Imam berjalan jalan, beliau bertemu dengan pasangan suami istri ini, sedang bergandengan tangan dengan mesra, sehingga Sang Imam bertanya, :"Apakah Kalian tidak berhasil menambah anak sehingga kalian batal bercerai?".


Sang Suami lalu menjawab : "Tuhan maha pengasih, Dia memberikan kami tambahan anak, tapi sekaligus juga memberikan isyarat agar kami saling memaafkan dan saling mengasihi, kami memutuskan untuk tidak bercerai"."


Bagaimana Tuhan memberikan isyaratNya?", tanya Sang Imam."Tuhan memberikan kami tambahan anak, bukan satu anak, tapi dua anak, anak kembar!!".


Beberapa hikmah:

1. Menunda tindakan negatif sering bermanfaat, apalagi ketika seseorang sedang dikuasai emosi. Ada baiknya jika kita sedang marah kita menunda sesuatu yang ingin kita lakukan. Betapa banyak penghuni penjara yang menyesal: mengapa ketika marah memukuli isteri/anak/ dsb sampai tewas.

2. Mampu mengendalikan marah [emosi] adalah kunci kebaikan, sehingga nabi saw menekankan laa taghdhab [jangan marah] kepada sahabatnya.

3. Kisah diatas menunjukkan kasih sayang Allah, tetapi ada yang lebih baik daripada kisah diatas aitu pasangan suami isteri yang selalu berhasil meredam pertengkaran mereka. Mungkin keluar rumah meninggalkan isteri/suami yang marah untuk sebentar kemudian kembali membawa buah tangan/peralatan baru kesukaannya akan membuatnya tersenyum, meminta maaf dan berfikir betapa baiknya suaminya/isterinya.

4. Pertengkaran itu lumrah rumah tangga. Dengan pertengkaranlah keharmonian semakin terasa nikmat. Orang bijaksana akan menikmati pertengkaran dan masa-masa setelahnya dengan tetap mengendalikan suasana agar tidak sampai keluar dari sunnah Nabi saw. Kerana pertengkaran itu seperti api: sedikitnya bermanfaat tetapi besar dan luasnya membinasakan

Ahad, 17 Januari 2010

Menutup Aurat Bukan Sekadar Pakai Tudung




SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.
Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”
Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”
Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).
Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.
Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”
Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.
Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.
Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Koleksi Resepi Internet

Mutiara

Mutiara

Untuk Suami

Pernikahan atau perkahwinan menyingkap tabir rahsia isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia khadijah tidaklah setakwa aisyah pun tidak setabah fatimah justeru, isterimu hanyalah wanita akhir zaman yang punya cita-cita menjadi solehah pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajipan bersama isteri menjadi tanah, ka pernikahan atau perkahwinan memu langit penaungnya isteri ladang ternakan, kamu pemagarnya isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya isteri adalah murid, kamu mursyidnya isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan takwa untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana justeru, kamu akan tersentak daripada alpa kamu bukanlah Rasulullah S.A.W pun bukanlah Saidina Ali suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh ...amin...

Hari Raya Aidilfitri 2012

Hari Raya Aidilfitri 2012
Hari Raya Aidilfitri 2012

Fenomena Hutang dan Keburukannya

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Mari sama-sama kita mempelajari pandangan Islam dalam hal hutang ini.

Nabi SAW bersabda :-
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين

Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.

Sebagaimana Sabda Nabi SAW :
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه اللهErtinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )


Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ;

Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-

KAD KREDIT : -Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.

PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Pelru di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat konterversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.


PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.


UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidak fahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.

* Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman merupakan pakar dalam bidang kewangan Islam dan aktif menulis buku dan artikel. Artikel ini disunting dari laman web beliau, www.zaharuddin.net

Perkahwinan

Perkahwinan itu satu perkara yang mulia, Mengapa mesti kita mengelakkannya. Ia adalah satu fitrah bagi manusia, kalau tak sanggup, manusiakah KITA. Jangan risau jika kita tak dapat isteri yang solehah, kerana Allah telah berjanji, perempuan yg soleh hanya utk lelaki yg soleh...Kalau kita sbg lelaki tak soleh...jgn harap dapat bini yg soleh....Syukur apa yg telah dikurniakan. Tak semua perempuan itu BAIK, tapi baiKKah kita nak dapat perempuan yg baik...??? Kalau kita mengorat perempuan memang tak baik, tapi kalau kita tak berusaha nak cari isteri; Ada can ker bini itu TURUN dari langit..... Kita tak suka perigi mencari timba...Perempuan jenis apakah itu??? Siti Khadijah pun perempuan mcm itu; Hinakah dia?????? Allah telah mengutuskan perempuan utk lelaki...bukannya kita perlu hidup dgn sendiri.... Mungkin rezeki tidak ada untuk kita memulakan alam perkahwinan. ......Tanpa usaha , rezeki itu memnag tidak ada.... Syabas kpd sesiapa yg melangkah ke gerbang perkahwinan, yg tidak, ANDA sesungguhnya berada dalam kerugian.... FIKIR-FIKIRKANLAH. ......... .... ...

Permata hati ibu

Permata hati ibu
Permata hati ibu