Isnin, 24 Februari 2014

Red Velvet Cake

Kek Red Velvet saya ...sememeh je

Potongan pertama untuk Aiman

Kejadian yang tak berapa cun..

Tak pe la...untuk makan sendiri je.




Red Velvet Cake
Resepi : K.Mon @ Nina Suria
Sumber : K.Zai @ Dapur Impian
C & P : Dapurmamasya

Bahan-Bahan
-2 biji telur gred A
-125 gram mentega beku tanpa garam
-1 1/2 cawan tepung naik sendiri*
-1 1/2 sudu makan koko Vochelle*
-2/3 cawan gula kastor
-2 sudu makan pewarna Red Bright
-1/2 cawan buttermilk - kalau xde buttermilk blh tgk nota di bwh
-1 sudu teh garam
-1/2 sudu makan bicarbonate of soda
-1/2 sudu makan cuka makan


Cara-Cara
Panaskan ketuhar 180 degree celcius. Sediakan 2 biji loyang 7'' yang telah di alas dengan baking paper.
Ayakkan bahan kering (*) menjadi satu bahagian ke dalam sebiji mangkuk. Ketepikan.
Pukul mentega dan gula di dalam mangkuk pengadun kek elektrik hingga sebati.
Masukkan telur sebiji demi sebiji, perlahan-lahan.
Masukkan tepung dan buttermilk (buttermilk dicampurkan pewarna merah), berselang-seli hingga habis. Masukkan garam. Pukul hingga kembang dan ringan. Matikan mesin pengadun.
Larutkan bicarbonate of soda dan cuka kemudian tuangkan kedalan adunan kek. Kaup dan balikbalikkan hingga sebati.
Bahagi kepada dua bahagian dan tuang adunan ke dalam dulang pembakar dan bakar hingga kek masak.

Nota:
Buttermilk - 1 cawan susu segar + 1 sudu makan cuka makan atau jus lemon dan biarkan selama 10 minit sebelum digunakan.
Gunakan dua biji dulang pembakar bulat bersaiz 8". Sejukkan kek kemudian barulah dipotong dua untuk mendapat empat lapisan.- bakar dlm loyang 9' dpt 2 biji kek @ loyang 10'x 10' [ untuk 1/2 adunan aku guna loyang 7'' ]
Untuk Cream
Sumber : Rahel Blogspot & Fb Anida Hussain

-130g cream cheese
-60g susu pekat manis
-30ml UHT Whipping cream

*Mix semua bahan dia tas hingga sebati,adunan ini memang cair tips nak bagi lagi cair tambahkan sikit2 susu cair uht dan whip cream sampai meleleh


Ahad, 23 Februari 2014

Kerisi Goreng Bersambal

Kerisi sebelum digoreng

Kerisi bersambal. 

Bila makan kat luar tengok lauk yang dijual, macam-macam jenis ada. Ikan goreng sambal, ikan kicap, ikan bakar, ikan masak lemak, ikan asam pedas, ikan masak tauchu dan macam-macam lagi la. Bila tengok je rasa macam sedap sangat. Baru tengok pun dah terliur. Tapi makan kat kedai, seekor ikan goreng dah dijual dengan harga RM5.00 ke atas. Mahalkan....yer la, peniaga tu pun mesti nak untung. Ikan sekarang pun harga bukan murah, semua dah mahal. Disebabkan tengok ikan kat kedai makan yang bermacam-macam rasa ni, maka aku pun teringin nak makan ikan kerisi goreng bersambal. Buatnya tak la susah mana tapi kalau malas semua benda tak jadi.


Bahan-bahan :
  1. Ikan kerisi - 4 ekor
  2. Serbuk kunyit
  3. Sedikit garam
  4. Minyak masak 
  5. Lada merah - 5 biji
  6. Bawang merah - 3 biji
  7. Bawang putih - 3 ulas
  8. Sedikit kunyit hidup
  9. Sedikit halia
  10. Ajinomoto
  11. Asam gelugur
  12. Tomato 2 biji
  13. Sedikit gula

Cara masak
  1.  Ikan kerisi yang dah disiang dan dibersihkan ditabur dengan serbuk kunyit dan sedikit garam. 
  2. Panaskan minyak masak dalam kuali dan ikan bolehlah digoreng sampai garing.
  3. Untuk sambalnya pula, blenderkan lada merah, bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit. 
  4. Minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan tadi dikurangkan sedikit.  Masukkan bahan blender dan tumis sampai garing.
  5. Masukkan sedikit gula, garam dan ajinomoto.
  6. Tambah sedikit air dan masukkan asam gelugur. 
  7. Masukkan tomato yang sudah dipotong.
  8. Apabila semuanya sudah sempurna, bolehlah tuangkan sambal tadi atas ikan yang telah digoreng.
  9. Sedap bila dimakan dengan nasi panas. 

Cekodok Pisang

Cekodok Pisang

Sekali-sekala makan cekodok pisang ni best juga. Aiman dari kecik memang suka dengan cekodok pisang. Kalau beli kat luar, 3 biji dah RM1. Padahal bukan besar mana pun cekodok pisang tu. Tapi bila masak sendiri kat dapur, puas makan. 

Bahan-bahan :
  1. Pisang emas masak dilecek
  2. Tepung gandum
  3. Sedikit garam
  4. 3 sudu gula
  5. Sedikit bicarbonate of soda
  6. Minyak untuk menggoreng

Cara-cara :
  1. Masukkan tepung gandum sedikit-sedikit dalam  mangkuk yang berisi pisang emas yang sudah dilecek. Jangan terlebih tepung sebab nanti cekodok jadi keras. 
  2. Tambah sedikit garam dan gula serta bicarbonate of soda. Kacau sehingga rata semuanya dan  adunan bolehlah digoreng. Sekiranya adunan kurang tepung, cekodok akan menyerap minyak. 
  3. Kalau nak cekodok bulat-bulat, bolehlah adunannya diambil dengan jari semasa hendak menggoreng.
  4. Goreng sehingga masak. 

Rabu, 19 Februari 2014

Pancake

Pankek

Hujung minggu macam biasa, lepas solat subuh kena mulakan misi untuk membuat sarapan pagi. Minggu ni teragak nak buat pankek la pulak. Sebelum tu pernah buat, tapi disebabkan takde kuali non-stick, saya guna kuali vantage saya. Hasilnya tak berapa memberangsangkan. Dah jadi macam kek la pulak.

Hari Khamis, lepas balik keje siap singgah ke Giant untuk beli kuali non-stick. Punya la semangat nak buat pankek ni kan...sampai beli semua peralatan. Yer la, bila tengok blog orang lain tu, rasa macam sedap jer pankek ni. Makan pulak dengan kaya atau madu. Tapi saya pulak makan dengan blueberry filling....baki buat Blueberry Chese Cake haritu.

Resepinya :

Bahan-bahan
Tepung gandum 1 cawan
Baking powder 1 sudu kecik
Telur 1 biji
Gula 2 sudu
Susu segar 1 cawan

Cara-cara
Tepung dan baking powder diayak. 
Masukkan semua dalam satu bekas. 
Kacau sampai ia betul-betul lembut. 
Apabila sudah tidak berketul-ketul, adunan sudah sedia untuk dimasak.
Panaskan kuali non-stick dan letak sedikit minyak.
Sendukkan adunan ke dalam kuali.
Apabila sudah agak masak, tebalikkan.
Setelah pankek masak, angkat dan boleh hidangkan dengan madu atau kaya atau blueberry. 

Kalau nak lebih mudah, beli tepung pankek yang dah siap kat pasaraya. Bancuh dan boleh masak terus. Lagi senang. 

Sabtu, 15 Februari 2014

Sepetang di Stulang

Aiman & Aisy 


Petang semalam, sempena cuti hujung minggu Mak Nok dan Uda ajak pergi tengok laut dan main air. Kat mana lagi kalau bukan di Stulang Laut. Situ jer lah tempat untuk ambik angin pantai kalau di JB ni. Sebelum ni selalu pergi ke Danga Bay atau Pantai Lido. Tapi sejak Danga Bay dan Pantai Lido dah dibangunkan, maka tak der lagi tempat untuk bermain-main air pada waktu petang. Yang tinggal hanya di Stulang Laut, JB.

Aiman

Aiman sampai merajuk sebab dia datang ke sini memang nak main air. Tapi aku pulak malas nak layan.  Bukan per, bila baju dah basah dan terkena pulak pasir, mestilah tak selesa. 



Aisy 

Aku jaga jer Aisy, Aiman pulak sibuk main air dengan Mak Nok kat gigi air. Mula-mula aku nak juga bawak Aisy main air kat gigi air, tapi sebab batu-batu kat tepi pantai tu licin, tak jadilah aku nak turun. Kang tak pasal-pasal jatuh pulak. 





Ada motorbot sapa ntah kat tepi pantai tu, jadinya aku ambik kesempatan naikkan Aisy atas motorbot tu. 


Makan Ais Krim




Sedapnya Ais Krim...

Sambil duduk tepi pantai, makan la ais krim. Sampai comot Aisy makan ais krim. 

Beli Kereta Ikut Kemampuan

Kereta Idaman Saya....Semoga dapat dimiliki satu hari nanti.


Saya suka kereta yang ala..ala...MPV sebab leh bawak makcik2 naik kereta saya bila balik kampung. Yer la, kereta yang ada sekarang ni sempit bila bawak barang dan muatan lebih. Tapi setakat ini saya hanya mampu pakai kereta kebal jer...ISWARA ...kena syukur juga dengan apa yang ada sebab dulu saya naik bas turun bas bila pergi dan balik kerja. Kereta yang ada sekarang ni pun masih lagi berhutang dengan bank. Makanya, masih belum menjadi milik saya sepenuhnya. Kalau kira-kira, tinggal 19 bulan jer hutang dengan bank...yer la, hutang 9 tahun. Sekarang bila bawak pun kereta dah mengeluarkan banyak bunyi-bunyian...kok kek kok kek....tapi kereta kebal ni banyak berjasa. Dari sebelum kahwin sampai dah anak dua saya masih sayang dengan kereta kebal saya. Sebenarnya, semakin mahal harga kereta, maka semakin mahallah kos penyelenggaraannya...maintenance setiap bulan kena pikir juga...bukan kira sedap pakai, tapi duit servis kena beringat juga. 

Ni lah kereta mampu milik saya..


Sebelum nak beli kereta baru atau ada cadangan nak tukar kereta, jadinya saya bacalah sedikit info mengenai pembelian kereta :

JANUARI adalah bulan yang sesuai untuk anda mengkaji keperluan berkereta. Bagi yang biasa chauffer-driven dalam teksi atau bas, pilihannya ialah membeli kereta baharu atau terpakai. Bagi yang sudah berkereta, mahu saiz lebih kecil atau besar daripada yang sedia ada.

Ini adalah kerana Januari bermaksud sudah bertukar tahun baharu, lebih sesuai daripada membeli kereta pada Disember 2013. Perbezaan sebulan Disember dan Januari bagi pembeli memang tidak ada. Tetapi apabila mahu menjualnya kelak, tahun dibeli menjadi rujukan utama, bukan bulan. Tahun 2013 akan menurunkan beberapa ribu ringgit daripada harga pasaran semasa.

Atas faktor yang sama, kebanyakan syarikat jualan kereta tidak membuat unjuran jualan yang besar bagi tiga bulan terakhir iaitu Oktober, November dan Disember. Aktiviti mereka terhad kepada memperkenalkan model baharu yang angka jualannya hanya dijangka meningkat bermula Januari.
Sasaran jualan ditumpukan bagi segmen pembeli yang mahu berkereta baharu sempena musim perayaan atau baru menerima gratuiti dan bonus gaji, misalnya. Kelompok ini tidak mewakili majoriti dalam sasaran pembeli tetapi syarikat kereta menyediakan pelbagai tawaran menarik bagi menghabiskan stok. Namun isu perbezaan tawaran harga semasa mahu menjual kereta kelak tidak berubah.

Januari 2014 lebih menarik kerana faktor begitu banyak sambutan perayaan bulan ini. Paling hebat ialah Tahun Baharu Cina pada 31 Januari. Perhatikan banyak tawaran tambahan diberikan bagi menarik anda memasuki bilik pameran masing-masing. Andai anda menyukai model tertentu, lawatlah bilik pameran atau layari laman web.

Ini nasihat umum yang saya berikan kepada sahabat-handai mengenai cara membeli kereta. Secara kebetulan, kereta adalah antara subjek kegilaan saya, selain Liverpool FC dan Metallica. Kegilaan kepada kereta juga dapat saya aplikasikan dalam ruangan pemotoran Utusan Malaysia setiap Isnin. Ada teman menggelar saya sebagai pakar pemotoran. Label ini saya tolak sebab bila kereta rosak, saya hantar ke bengkel juga. Yang benar-benar pakar ialah mekanik.

Kegilaan ini merangkumi definisi keinginan yang sentiasa bersemarak untuk mengetahui tentang model-model terbaharu kereta, perbandingan teknologi yang diperkenalkan dan serba-serbi berkaitan. Bagi sesetengah orang, topik kereta ini mungkin membosankan dan kelaziman topik perbualan lelaki semata-mata.
Tambah lagi membosankan bila membaca: Kuasa Maksimum 200 kuasa kuda (hp) pada 6,000 revolusi per minit (rpm) dan Kuasa Kilas 196 Newton meter (Nm) pada 5,000 rpm.

Anda tidak perlu menjadi mekanik atau belajar kejuruteraan automotif untuk memahaminya. Formula mudah ialah lagi besar angka pada kuasa kuda dan kuasa kilas, bermakna lagi bertenaga keupayaan pecutan kereta tersebut. Anda akan dapati lagi besar keupayaan enjin, lagi mahal kereta. Berikut adalah 10 petua yang saya gabungkan daripada pengalaman dan juga laman web kereta yang terkenal untuk panduan anda membeli:

1Tanya diri
sejujur-jujurnya Setiap orang ada kereta idaman tetapi tidak semestinya semua idaman mampu direalisasikan. Tanya diri sejujur-jujurnya berkaitan kemampuan membeli dan menyenggara. Kira perbelanjaan kereta berbanding gaji bulanan. Seelok-eloknya urusan kereta tidak melebihi satu pertiga daripada gaji bulanan merangkumi bayaran bulanan, minyak dan penyenggaraan serta persediaan pembaharuan insurans dan cukai jalan (serta saman AES). Pilih model yang lawa dengan ciri-ciri yang bagus dalam lingkungan keupayaan wang anda. Bukan nafsu anda.


2Kajian menerusi majalah atau Internet
Bacalah seberapa banyak ulasan mengenai model yang anda berkenan. Baca juga ulasan pembeli tentang suka-duka menyenggaranya. Tayar kereta sedan tidak semahal harga kereta SUV. Menerusi pembacaan itu, harga juga boleh dibandingkan.


3Buat perbandingan
Walaupun hati anda sudah tetap pada sesebuah model, tapi anda harus membuat perbandingan dengan model lain, yang mungkin lebih lengkap. Pelaburan anda terlalu mahal untuk tidak membuat perbandingan.


4Jangan endah promosi penjimatan bahan api
Di kala harga minyak mahal sekarang, hampir keseluruhan syarikat penjual menggunakan aspek penjimatan bahan api sebagai bahan promosi. Semua itu tidak berguna jika anda memandu ganas laju. Hibrid misalnya, sangat sesuai dalam kesesakan bandar. Tapi memecut di lebuh raya, sama juga kos petrolnya. Semua ini kena tahu.

5Senarai pendekkan calon, pandu uji semua
Anda mahu kereta petrol, diesel, hibrid atau elektrik? Khususkan ketetapan anda. Kemudian pandu uji kesemuanya. Memang ambil masa. Saya guna masa lapan bulan untuk memandu uji kereta pilihan saya. Tiada tergesa-gesa.


6Cari bank pembiaya terbaik
Anda ada pilihan sama ada untuk melepaskan sahaja semua urusan pembiayaan kepada jurujual kereta. Mungkin ditawarkan kadar faedah yang rendah atau secara syariah. Andai anda ada kaedah mencari sendiri bank pembiaya, beritahu jurujual. Mereka tiada hak untuk menegah.


7Jangan emosi semasa berunding harga
Jangan sesekali dedahkan kepada penjual mengenai rancangan anda untuk membiayai kereta semasa berunding harga. Penjual dijanjikan komisen. Mereka diberi pilihan sama ada untuk memotong komisen mereka dengan memberikan ‘diskaun’ kepada bakal pembeli. Diskaun itu dipotong daripada komisen mereka. Gunakan fakta ini untuk mendapatkan harga yang lebih baik untuk diri anda.


8Pastikan anda selesa
Ini berkait dengan pandu uji. Selalunya bila memilih kereta, kita kadang-kadang lupa mengenai keselesaan. Apakah kerusinya muat dengan tubuh badan? Apakah kerusi boleh dijungkit naik? Kemudi roda boleh ditarik ke depan? Mahu kerusi disarung kulit?


9Uji infotainment
Hari ini, tiada lagi kereta menawarkan sistem pemain kaset. Kebanyakannya pemain CD tetapi generasi hari ini guna USB atau iPod atau sambung kepada telefon bimbit. Pastikan ada saluran khas untuk sambungkan peralatan anda. Tekan setiap butang bagi memastikan benar-benar berfungsi. Kalau disedari rosak selepas memandu, maka banyak menyusahkan untuk dihantar balik bagi dibaiki.

Tapi yang paling penting bagi saya ialah :


10. Beli ikut keperluan
Evolusi bagi pemilikan kereta ialah orang bujang belilah kereta yang sesuai dengan gaji dan tidak perlu bersaiz besar. Bila sudah berkahwin, kenalah ada empat pintu sebab hendak mengangkut keluarga mertua. Bila sudah ada anak, kenalah tukar sedan kepada MPV sebab anak perlukan dua baris tempat duduk. Tetapi formula di atas tidak mutlak. Bergantung pada kesukaan masing-masing. Kalau mampu, belilah.






© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 10 Februari 2014

Kempen Berjimat Cermat

Sekarang ni aku cuba mengamalkan Kempen Berjimat Cermat. Padahal tak la jimat mana pun, belanja setiap hari sama jer. Tapi sekurang-kurangnya dapatlah kurangkan sikit kos belanja setiap hari. Apa yang aku buat ialah setiap hari aku bawak bekal ke pejabat. Walaupun orang lain tak buat, tapi aku buat sorang. Yer la, yang lain bila sampai waktu rehat, mereka mula la sibuk cari kedai makan untuk isi perut, tapi aku pulak bila time rehat, aku akan bukak bekal dan makan bekal yang aku bawak. 


Bekalan untuk kerja.


Sebenarnya aku dah bawak bekal dari dulu lagi sejak bujang lagi. Tapi lepas tu bila ada anak aku jarang bawak bekal. Tapi sekarang, sebab setiap hari aku masakkan untuk anak-anak waktu pagi, jadinya aku bungkuskan sekali bekal aku untuk ke tempat kerja. Boleh lah jimat sedikit duit belanja makan kat pejabat ni. Kalau makan kat luar sekurang-kurangnya habis juga RM5.00 - RM10.00. Kalau makan ramai-ramai dan kita bayar kadang tu habis juga RM50.00. Dah jadi kebiasaan kat pejabat ni, kalau makan ramai-ramai selalunya kitaorang bergilir-gilir untuk bayar. Tapi sejak aku tak keluar makan ramai-ramai, takder lah aku banyak belanja sangat. Bukanlah nak kata aku ni kedekut, tapi kalau dah setiap hari makan luar pun bosan juga. Kadang tu sampai tak tahu nak makan kat kedai mana. Padahal makan kat luar bukan best mana pun. Lebih sedap masak sendiri rasanya. 

Lagi satu kelebihan bawak bekal ni ialah dapat mengurangkan pembaziran makanan di rumah. Aku hari-hari belanja lauk dan sayur di kedai untuk masak pagi besoknya. Sebab tu, bila lauk dan nasi yang dah dimasak tu tak habis, rasa sayang la pulak dengan rezeki yang ada. Nak buang rasa membazir. Tapi nak makan dah tak larat la pulak. Sebab tu, aku akan simpan lauk malam yang tak habis dan panaskan keesokan harinya. Aku akan bawak ke pejabat sebagai bekal. Untuk anak-anak pulak, aku akan masakkan nasi panas dan lauk lain. Biarlah aku habiskan lauk malam tapi anak-anak aku akan pastikan mereka makan lauk yang baru dimasak. Kadang tu aku akan masak nasi goreng kalau nasi makan malam tak habis. 

Aku bawak bekal ke pejabat dengan nasi yang dibungkus plastik dan kertas surat khabar jer. Dah macam orang nak kerja kebun la pulak. Yang penting senang dibawa dan dibuang lepas makan. Orang lain sibuk bukak polisterin makanan mereka, tapi aku simple je. Kalau ada kawan aku makan lah bekal di pantry tapi bila takde geng nak makan, aku sanggup duduk di bilik tamu di pejabat ni yang memang biliknya pun kat hujung pejabat untuk makan bekal yang aku bawak. Nak makan kat pantry sorang-sorang aku segan la pulak sebab nanti ada je orang yang akan keluar masuk pantry untuk minum. Dah la aku bawak bekal.....mmmm....Pernah satu hari tu, masa aku tengah makan bekal kat pantry, ada kawan sepejabat ni yang tegur. Dia kata lepas ni mesti aku duduk rumah banglo sebab berjimat sangat dalam makan. Mudah-mudahan la kalau ada rezeki....hahaha...padahal dia perli aku tu...

Aku pikir macam ni jer, kalau dulu masa aku kerja kilang, boleh jer setiap hari aku masak pagi-pagi dan bawak bekal, tapi sekarang kenapa pulak tak boleh?  Padahal dulu masa kerja kilang bukan ada lauk apa pun, bekal aku cuma nasi putih dengan sambal tumis ataupun ikan bilis goreng berkicap. Tu jer la lauk aku setiap hari. Sekarang bila dah ada kerja yang lebih baik, kenapa aku malas bawak bekal. Jadinya lebih jimat bawak bekal daripada makan di kedai. 


Ubat Mengantuk

Coffee
Tak tahulah nak bagi apa lagi mata ni, bila time penyakit ngantuk tu dah datang, buat apa kerja pun mesti menguap juga. Padahal dah pasang radio, dah buat air kopi, siap sediakan gula-gula kopiko lagi untuk hilangkan ngantuk ni. Tapi kalau dah nak terlelap, terlelap juga mata ni. Isyk..isyk....isyk....

KOPIKO untuk hilangkan ngantuk 

Yang tak leh tahan, bila tengah menaip kerja ..tup....tupppp...leh pulak aku termimpi. Apalah aku ni. Masalah besar betul la aku ni. Pernah sekali tu pengarah siap tegur......time tu aku mengandung, leh pulak terlelap depan pc ni...pengarah kata "Ha tu, mak buyung tengah tertidur"..hahaha...memalukan betul la. Nasib baik la bos ni sporting, dia tak lah marah pun cuma malulah bila tertidur semasa buat kerja. 

Rabu, 5 Februari 2014

Ayam Masak Lemak Cili Api

Ayam Masak Lemak Cili Api Dengan Terung Asam

Balik kampung, banyak pulak terung asam yang tumbuh kat belakang rumah. Saya memang penggemar terung asam sebab bila masak lemak cili api atau masak asam pedas letak terung asam ni, rasanya sedap sangat. Dah tak perlu tambah asam jawa atau asam gelugur lagi. Masak sambal tumis dengan terung asam pun sedap juga. Terutamanya sambal tumis cili api. Disebabkan bawak balik terung asam ni, maka harini masaklah - Ayam Masak Lemak Cili Api Dengan Terung Asam. Sangat menyelerakan apabila dimakan dengan nasi. Selalu asyik masak Kari Ayam atau Ayam Masak Merah jer... Harini cuba masak lemak cili api pulak. Memang terbaiklah....
Bahan-bahan


  1. Seekor ayam yang telah dipotong dan dibersihkan.
  2. Santan secukupnya.
  3. Sedikit Cili Api
  4. Sedikit Halia
  5. Sedikit Kunyit Hidup
  6. Bawang Merah - 3 biji
  7. Bawang Putih - 3 ulas
  8. Sebatang serai - diketuk
  9. Terung Asam 3 Biji - Dibelah
  10. Sedikit Garam dan Serbuk Perasa

Cara-cara memasak :
  1. Masukkan santan dalam periuk dan panaskan.
  2. Tumbukkan cili api, halia, kunyit, bawang merah dan bawang putih. Masukkan dalam periuk yang dipanaskan tadi.
  3. Masukkan serai yang sudah diketuk.
  4. Masukkan ayam - sentiasa kacau kuah santan supaya tidak pecah minyak.
  5. Masak sehingga ayam empuk.
  6. Apabila ayam sudah masak, masukkan terung asam, sedikit garam dan sedikit serbuk perasa secukupnya.
  7. Perasakan mengikut selera masing-masing dan apabila semuanya sudah sempurna bolehlah dimatikan api.
  8. Hidangkan dengan nasi putih. 

Sambal Telur


Sambal Telur dan Nasi Untuk Bekal Hari Ini


Pagi tadi masakkan Aiman lauk sambal tumis telur sebab ikan tak de dalam simpanan peti ais. Aiman memang suka sambal telur ni.

Telur gred A - sebab tu besar

Bahan-bahannya :
  1. Lada kering blender - 2 senduk
  2. Bawang besar - sebiji
  3. Bawang putih - 3 ulas - tumbuk
  4. Bawang merah - 3 biji - tumbuk
  5. Telur rebus - 5 biji
  6. Sedikit Garam
  7. Sedikit gula 
  8. Sedikit Ajinomoto
  9. Minyak Untuk Menumis
  10. Air Asam Jawa


Cara-cara Memasak



  1. Panaskan minyak dalam kuali. Apabila sudah panas, masukkan lada blender, bawang merah dan bawang putih yang dah ditumbuk. Tumiskan semua bahan tadi hingga garing. 
  2. Masukkan sedikit air dan bawang besar yang sudah dipotong-potong bulat.
  3. Masak sehingga bawang layu.
  4. Masukkan sedikit air asam jawa, sedikit garam, gula dan ajinomoto.
  5. Apabila rasanya sudah cukup sempurna masukkan telur rebus dan bolehlah matikan api. 



Ahad, 2 Februari 2014

Majlis Akikah Buat Aisy

Alhamdulillah, pada hari Jumaat, 31 Januari 2014 selamatlah majlis akikah buat Permata Hati Ibu, Muhammad Aisy Amirshah bin Muhammad Shah. Setelah Aisy berusia 1 tahun 10 bulan, barulah ada rezeki untuk ibu dan ayah buatkan Majlis Akikah buat permata hati ibu ini. Semoga anak ibu dan ayah sihat dan kuat, menjadi anak yang solleh, cerdik, bijak, alim dan beramal, rajin bersolat, berjaya di dunia dan akhirat...In Sya Allah..Aminnn



Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
                        Ibnu Majah menerangkan maksud "... terpelihara dengan aqiqahnya..." (pada mafhum hadis diatas) adalah bahawa aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.
                        Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Untuk anak lelaki itu aqiqahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis." (Riwayat Abu Daqud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah).
                        Menurut Imam Ahmad bin Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya diakhirat kelak.
HUKUM AQIQAH
  • Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
  • Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
  • Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
  • Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.
  • Anak lelai disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

Koleksi Resepi Internet

Mutiara

Mutiara

Untuk Suami

Pernikahan atau perkahwinan menyingkap tabir rahsia isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia khadijah tidaklah setakwa aisyah pun tidak setabah fatimah justeru, isterimu hanyalah wanita akhir zaman yang punya cita-cita menjadi solehah pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajipan bersama isteri menjadi tanah, ka pernikahan atau perkahwinan memu langit penaungnya isteri ladang ternakan, kamu pemagarnya isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya isteri adalah murid, kamu mursyidnya isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan takwa untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana justeru, kamu akan tersentak daripada alpa kamu bukanlah Rasulullah S.A.W pun bukanlah Saidina Ali suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh ...amin...

Hari Raya Aidilfitri 2012

Hari Raya Aidilfitri 2012
Hari Raya Aidilfitri 2012

Fenomena Hutang dan Keburukannya

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Mari sama-sama kita mempelajari pandangan Islam dalam hal hutang ini.

Nabi SAW bersabda :-
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين

Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.

Sebagaimana Sabda Nabi SAW :
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه اللهErtinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )


Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ;

Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-

KAD KREDIT : -Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.

PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Pelru di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat konterversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.


PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.


UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidak fahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.

* Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman merupakan pakar dalam bidang kewangan Islam dan aktif menulis buku dan artikel. Artikel ini disunting dari laman web beliau, www.zaharuddin.net

Perkahwinan

Perkahwinan itu satu perkara yang mulia, Mengapa mesti kita mengelakkannya. Ia adalah satu fitrah bagi manusia, kalau tak sanggup, manusiakah KITA. Jangan risau jika kita tak dapat isteri yang solehah, kerana Allah telah berjanji, perempuan yg soleh hanya utk lelaki yg soleh...Kalau kita sbg lelaki tak soleh...jgn harap dapat bini yg soleh....Syukur apa yg telah dikurniakan. Tak semua perempuan itu BAIK, tapi baiKKah kita nak dapat perempuan yg baik...??? Kalau kita mengorat perempuan memang tak baik, tapi kalau kita tak berusaha nak cari isteri; Ada can ker bini itu TURUN dari langit..... Kita tak suka perigi mencari timba...Perempuan jenis apakah itu??? Siti Khadijah pun perempuan mcm itu; Hinakah dia?????? Allah telah mengutuskan perempuan utk lelaki...bukannya kita perlu hidup dgn sendiri.... Mungkin rezeki tidak ada untuk kita memulakan alam perkahwinan. ......Tanpa usaha , rezeki itu memnag tidak ada.... Syabas kpd sesiapa yg melangkah ke gerbang perkahwinan, yg tidak, ANDA sesungguhnya berada dalam kerugian.... FIKIR-FIKIRKANLAH. ......... .... ...

Permata hati ibu

Permata hati ibu
Permata hati ibu