Pendekatan Mesra Remaja
Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah luas dan indah jika umat Islam menghayatinya. Perpecahan umat akibat perbezaan ideologi politik semakin hari kian ketara. Suasana begini bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam, malah ia juga boleh menggugat struktur sosial masyarakat Islam yang amat prihatin terhadap konsep kasih sayang dan tali persaudaraan yang berteraskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.Pengalaman penulis bertemu bual dengan remaja yang berkeliaran di waktu malam di daerah yang agak terpinggir dari ibu kota tiga tahun lalu memberi keinsafan kepada penulis bahawa golongan remaja sama ada dibesarkan di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar menghadapi ketandusan jiwa. Mereka tidak memahami matlamat dan erti kehidupan di dunia ini.
Ramai daripada golongan remaja ini lebih gemar menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang menyeronokkan. Dosa dan pahala bukan merupakan nilai dalam kehidupan seharian mereka.Sikap keterbukaan mereka meluahkan perasaan dan pandangan mengenai kehidupan jelas menunjukkan bahawa remaja dalam golongan ini merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan. Berdasarkan suasana di mana ramai golongan remaja terjebak dalam kancah maksiat dan pembunuhan bayi, maka setiap individu Islam perlu merenung dan mempersoalkan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.Islam menggariskan pelbagai aspek berkaitan dengan konsep kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab individu terhadap individu lain. Islam mendidik umatnya supaya menyemarakkan prinsip kasih sayang sesama umat dan manusia. Orang dewasa perlu dihormati dan orang muda perlu disayangi. Konsep kehidupan begini menyerapi hati nurani umat Islam sehingga mereka merasai bahawa setiap remaja dan kanak-kanak di sekeliling mereka adalah anak mereka.
Oleh itu, mereka tidak khuatir untuk menegur dan menasihati serta mencegah remaja daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri mereka.Semangat kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan masa depan umat Islam. Dalam suasana begini, sepatutnya orang dewasa perlu menumpukan perhatian kepada golongan remaja dengan menggunakan sedikit masa lapang untuk berbual dan beramah mesra dengan remaja yang berada di kawasan mereka.Remaja diibaratkan seperti kain putih yang mana minda dan hati nurani mereka mudah dibentuk ke arah yang lurus dan baik jika orang dewasa, ulama, guru dan ibu bapa sering menghampiri mereka. Minda dan daya pemikiran mereka yang kurang matang memudahkan mereka tergelincir dalam kancah maksiat dan dosa. Maka ketika ini, orang-orang dewasa perlu memainkan peranan untuk membimbing dan mengasuh remaja supaya mereka mampu menggunakan akal ketika menghadapi saat genting dan sebagainya.Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.Oleh itu, perjuangan utama umat Islam masa kini adalah menghampiri remaja dan menjelaskan kepada mereka erti kehidupan dan matlamat kehidupan mereka di dunia. Melalui kesedaran dan penjelasan berkaitan dengan kerohanian sahaja, maka umat Islam dapat memelihara remaja supaya tidak terumbang-ambing dalam arus globalisasi.Mengambil berat terhadap remaja dan masyarakat merupakan Fardu Ain kepada umat Islam yang memiliki ilmu wahyu dan fardu kifayah kepada keseluruhan umat Islam.
Setiap umat Islam akan dipersoalkan oleh Allah berhubung kait dengan tanggungjawab mereka terhadap remaja dan masyarakat.Perkara berkaitan dengan permasalahan remaja dan masyarakat hanya dapat diatasi melalui kerjasama di antara semua umat Islam. Apabila wujud pelbagai permasalahan di kalangan remaja, umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Sikap kerjasama dan prihatin masyarakat terhadap remaja adalah senjata utama untuk memelihara remaja daripada terjerumus ke kancah kehancuran.Remaja merupakan pemangkin kepada masa depan negara dan agama. Oleh itu, Rasulullah SAW meminta umat Islam supaya sentiasa mendampingi remaja dan membimbing mereka menjadi orang yang berwawasan dan mempunyai semangat waja. Baginda meletakkan harapan yang tinggi kepada remaja dengan sabdanya yang bermaksud: "Sebaik-baik remaja ialah orang yang mengisi masa mudanya dengan melakukan kebajikan dan kebaikan".Berdasarkan konteks masa kini, maka umat Islam yang mempunyai ilmu wahyu sepatutnya mempergiatkan kegiatan dakwah kerana keadaan dan gelombang globalisasi dan gejala-gejala negatif begitu aktif menular masuk ke negara ini. Suasana begini tidak mungkin dapat ditangkis oleh remaja Islam. Oleh itu, fahamilah jiwa dan dilema remaja dan kasihanilah mereka dengan menggerakkan semangat berdakwah di kalangan remaja.Elakkan persengketaan sesama umat supaya struktur sosial masyarakat dapat dibentuk dan remaja Islam hidup dalam arus perpaduan dan kasih sayang. Permusuhan sesama umat tidak akan memberi sebarang faedah kepada umat Islam. Ideologi politik perlu ada batas supaya kepentingan agama dan bangsa tidak terjejas. Oleh itu, semarakkan semangat persaudaraan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Fenomena Hutang dan Keburukannya
Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.
Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.
Mari sama-sama kita mempelajari pandangan Islam dalam hal hutang ini.
Nabi SAW bersabda :-
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين
Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)
Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.
Sebagaimana Sabda Nabi SAW :
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه اللهErtinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ;
Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )
Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )
Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-
KAD KREDIT : -Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.
PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Pelru di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat konterversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.
PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.
UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidak fahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.
* Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman merupakan pakar dalam bidang kewangan Islam dan aktif menulis buku dan artikel. Artikel ini disunting dari laman web beliau, www.zaharuddin.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan